Sunday, December 18, 2011

Cerita Ubi Kayu

Aku telah melakukan kempen Bumi Hijau. Bagi tujuan itu aku telah menanam serai dan ubi kayu di belakang rumah yang hanya berkeluasan 18x4 kaki.

Aku telah menanam lapan pokok ubi kayu dan dua rumpun serai, lama dulu, lapan bulan lepas.

Sekarang musim tengkujuh di Terengganu. Jadi, tiba-tiba sahaja aku teringat ubi kayu yang aku tanam dahulu. Lantas aku kembali menjengah laman belakang rumah. Kaget. Terkejut. Sedih dan marah. Enam pokok ubi kayu telah lesap bersama isinya. Lebih bangsat apabila batang-batang ubi dibiarkan bersepah. Semacam kerja babi menyondol ubi. Tapi, adalah mustahil babi berkeliaran di taman perumahan dalam bandar! Jadi aku membuat kesimpulan bahawa ubi aku telah dicuri oleh manusia yang berperangai .....

Hahahahahaha.

Ah, biarkan sahaja manusia itu diadili kelak. Tapi, sempat juga aku merasa hasil dari dua pokok ubi.





Ubi, pada aku amat sedap apabila dipotong sebesar ibu jari dan digaul bersama rempah kari, kunyit dan garam sebelum digoreng. Kemudian dimakan dengan bersoskan sambal kicap. Lada ditumbuk dan dibancuh kicap.

Ubi sedap juga bila direbus begitu sahaja. Sudah empuk ditos dan dimakan panas sambil dicicah sambal tumis ikan bilis. Pergh!

Juga, ubi boleh dibuat getuk. Ubi rebus yang sudah empuk dan ditos airnya dan dilenyek bersama parutan kelapa, gula dan garam. Kemudian dimampatkan dalam loyang, macam buat nasi himpat. Bila sudah mampat dan mengeras, boleh dipotong dan dimakan begitu sahaja. Atau untuk lebih nikmat, boleh dicicah bersama sambal tumis ikan bilis.

Getuk juga boleh digoreng celup tepung. Amat enak apabila menikmati getuk goreng yang dicicah sambal kicap.

Barangkali bagi orang Terengganu cara aku makan ubi kayu kelihatan janggal. Pn. Nurul misalnya, hairan apabila aku memakan ubi rebus dengan sambal tumis ikan bilis. Juga beliau terpinga-pinga apabila aku meminta untuk menggoreng ubi atau membuat getuk. Huhuhuhuhu

Resipi ubi kayu Pn. Nurul sangat mudah. Ubi direbus kemudian airnya ditoskan. Masa tengah panas-panas tu, masukkan gula. Gula akan mencair, jadi ubi tu akan rasa manis. Enak dimakan begitu sahaja (sila baca mengikut rentak lagu roti gardenia). Atau, lebih enak dicicah dengan kelapa parut.

Owh, kembali kepada ubi yang aku tanam. sebahagian telah digoreng. selamat masuk ke usus aku tanpa aku sempat mengambil gambarnya. Sebahagian lagi direbus, malangnya sedikit hangus akibat kealpaan. Hahahahaha



Namun, sempat juga aku menikmati ubi yang berbau hangit itu. Huhuhuhuhu


No comments: