Wednesday, October 08, 2008

Drama Meleleh

Aku perasan, setiap kali raya, stesen televisyen di Malaysia berlumba-lumba menyiarkan rancangan yang menarik. Rancangan yang begitu klise sudah pastinya filem-filem, rancangan nyanyian lagu hari raya beramai-ramai dan juga drama meleleh yang tajuknya pasti akan ada perkataan "lebaran", "raya", "takbir" dan seangkatan dengannya.

Terus terang, aku tidaklah begitu teruja untuk menonton rancangan-rancangan tersebut kerana aku lebih suka beraya menziarah saudara dan rakan-rakan di serata pelosok negeri Johor, dari Muar ke Johor Bharu, juga dari Pontian ke Kota Tinggi, dan tidak ketinggalan di Bandar Tenggara.

Menarik, setiap kali aku berkunjung ziarah ke rumah orang, pastinya mereka akan menyalakan suis peti televisyen mereka. Kebetulan, kebanyakan rumah yang aku pergi rancangan drama meleleh sedang ke udara di peti televisyen mereka.

Pemerhatian aku, tidak kurang 10 drama meleleh telah ke udara sepanjang hari raya. Ini menunjukkan para pembikin drama Malaysia amat gemar menerbitkan drama yang pelakonnya mesti menangis. Jika ditanya oleh wartawan hiburan mengapa mereka ini gemar membikin drama meleleh sempana hari raya, barangkali ini jawapan mereka "Itu kehendak penonton. Kita buat drama untuk orang tengok. Tak guna buat drama yang orang tak nak tengok". Barangkali juga mereka akan menjawab begini, "Drama yang saya buat ni akan memberi keinsafan kepada penonton".

Aku setuju dengan pendapat mereka itu. Tapi, kalau sampai sepuluh drama leleh setiap kali raya, apa kejadahnya. Muak! Bukan ke Eidulfitri adalah tentang meraikan kejayaan? Bukan ke Eidulfitri adalah tentang kegembiraan?

Apa kata sekali sekali dibuat pula cerita tentang cabaran mualaf berpuasa, misalnya. Ataupun kisah perjalanan kejayaan seorang ahli perniagaan muslim. Boleh juga dibuat drama tentang kegembiraan seorang anak yang berjaya memajukan ekonomi keluarganya.

p/s: Gue suka bangat sinetron Diari Ramadhan/Raya Rafique.

No comments: